Saturday, July 18, 2009

SAIF Terbakar

JERAI, Kedah, 18 Julai- Sekolah Integrasi Faizin (SAIF) Guar Chempedak, dekat sini terbakar jam 10.00 pagi tadi (17 Julai) menyebabkan kerugian anggaran pihak bomba sebanyak RM550,000.

Menurut Pengerusi Lembaga Tadbir SAIF, Ustaz Mussodak Haji Ahmad, kebakaran itu telah mengakibatkan pejabat pentadbiran sekolah, bilik lembaga tadbir, bilik mudir, bilik guru, perpustakaan dan dua buah bilik darjah musnah.

Turut terlibat adalah 11 unit komputer termasuk dua unit komputer pentadbiran sekolah dan guru, 1 unit mesin fotostat yang baru dibeli, peralatan perabot antaranya meja mudir, meja kerani dan kaunter serta beberapa buah almari, 65 unit meja dan kerusi murid.

Pihak Bomba dari Guar Chempedak dan bomba sukarela termasuk dari Bukit Pinang tiba bagi membantu usaha memadam kebakaran dan berjayakan selamatkan bangunan surau serta asrama pelajar yang berada bersebelahan.

Menyedari kepulan asap yang tebal di bilik darjah selepas diberitahu pelajar, Musoddak yang berada di pejabat bergegas ke tempat tersebut dan mendapati api telah marak.

Katanya, pihak Lembaga tadbir mengadakan mesyuarat tergempat jam 1.00 petang tadi dan memutuskan memberi cuti kepada semua pelajar sehingga 27 Julai ini.

Dalam pada itu, ujarnya, bagi menggantikan dua buah bilik darjah yang musnah pihak sekolah akan memasang khemah sebagai bilik darjah sementara.

Sehubungan itu, tambahnya, pejabat sementara sekolah akan ditempat di tingkat bawah bangunan Tabung Haji yang bersebelahan dengan sekolah.

SAIF adalah di bawah pentadbiran Muassah Darul Ulum dan diuruskan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah yang memulakan sesi persekolahannya pada 1 Januari 2006.

Sekolah ini ditubuhkan hasil daripada penggembelingan tenaga pemuda, masyarakat setempat, intelektual yang inginkan penggabungan atau kesepaduan pendidikan agama, sains, tahfiz dan teknik pembelajaran dan pengajaran terarah.

Kini mempunyai 217 pelajar terdiri dari 145 putera dan 72 puteri dari tahun satu hingga empat sementara bilangan guru pula seramai 17 orang dan 8 staf.

Musoddak berkata, bagi mereka yang ingin menyumbang boleh salurkan melalui akaun Bank Islam : Tabung Pembangunan SAIF no. akaun 02084010028830.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi beliau di talian 012-4827563 atau Setiausaha Lembaga Tadbir sekolah, Ustaz Mohamad Ismail (019- 4227323).