Saturday, April 24, 2010

Bayi sindrom Down perlu bantuan


KUCHING 23 April - Bayi berusia 11 bulan yang menghidapi penyakit sindrom Down dan juga masalah jantung berlubang sejak dilahirkan memohon bantuan sebanyak RM30,000 untuk kos pembedahan dan rawatan susulan.

Bayi malang itu, Nurul Elisa Abdul Razak dari Kampung Bako Tengah, dekat sini dijadualkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) minggu depan.

Ibunya, Normimi Omar, 38, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami masalah jantung ketika dilahirkan.

Bagaimanapun menurutnya, ketika berusia lima bulan, Nurul Elisa mengalami masalah sukar bernafas selain kerap tidur, tidak aktif dan kurang mengeluarkan suara sebelum penyakitnya disedari dan disahkan oleh doktor.

''Saya tidak menyangka Nurul Elisa sakit memandangkan dia selalu tidur dan tidak aktif kerana saya beranggapan ia masalah normal memandangkan setiap bayi mempunyai perwatakan yang berbeza.

''Sebagai ibu pastinya sedih apabila mengetahui penyakit yang dihidapinya lebih-lebih lagi selepas melihat berat badannya susut dan memerlukan pemerhatian sepenuh masa," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Suaminya, Abdul Razak Munir, 39, hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan purata RM500 sebulan.

Pendapatan tersebut hanya cukup untuk perbelanjaan harian serta persekolahan tiga anaknya yang lain berusia tujuh hingga 12 tahun.

''Saya buntu apabila memikirkan kos perubatan yang tinggi untuk Nurul Elisa dan tidak tahu di mana pula hendak mencari sumber kewangan tersebut.

''Saya tidak mempunyai wang simpanan yang banyak dan isteri pula tidak bekerja," kata Abdul Razak.

Abdul Razak memberitahu, setakat ini pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyatakan kesediaan untuk menghulurkan bantuan, namun, jumlahnya belum dapat dipastikan lagi.

Sehubungan itu, Abdul Razak berharap orang ramai yang prihatin dengan masalah menimpa Nurul Elisa tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka sekeluarga dan paling penting demi kesihatan anaknya itu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 11013025643808 atau menghubungi talian 010-9688637 untuk maklumat lanjut. UTUSAN 24 April