Sunday, August 7, 2011

Bantu Kanak-kanak dua kemaluan


Marzuki Rani menunjukkan kesan pembedahan anaknnya, Muhammad Aidiel Ashraf Mustaqin yang mempunyai dua jantina dan menderita penyakit ketumbuhan dalam buah pinggang di Kampung Seberang Tuan Chik Haji Kuala Terengganu, semalam. - MINGGUAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

KUALA TERENGGANU 6 Ogos - Kelahiran Muhammad Aidiel Ashraf Mustaqin, 5, membawa kejutan bagi ibu bapanya serta dugaan yang mencabar mereka.

Muhammad Aidiel, anak ke-11 daripada 12 beradik, dilahirkan khunsa dengan memiliki dua kemaluan, namun persoalan lebih besar ialah dia menderita penyakit ketumbuhan buah pinggang yang menyebabkan penglihatannya kini turut terjejas.

Bapanya, Marzuki Rani, 51, seorang nelayan dan ibunya, Rokiah Nasir, 41, seorang suri rumah perlu memberi tumpuan dan sebahagian besar perbelanjaan bagi menguruskan rawatan anak mereka itu.

Marzuki ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Tuan Chik Haji di sini semalam, menceritakan keresahannya berhadapan kekangan kewangan, apatah lagi dengan memiliki keluarga besar.

''Persiapan Hari Raya Aidilfitri tak diberi perhatian sangat, ala kadar sahaja. Tak ada lebihan wang untuk dibelanjakan lagi. Berapa sangatlah pendapatan sebagai nelayan," katanya.

Menurut Marzuki, dia buntu mengenangkan nasib dan masa depan anaknya itu sejak penyakitnya dikesan September tahun lalu dan sehingga kini telah berhabis berbelas ribu ringgit dalam menguruskan rawatan anaknya itu.

Muhammad Aidiel mula dikesan menghidap penyakit buah pinggang setelah mengalami kencing berdarah sebelum menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada November tahun lalu.

Berikutan itu, dia telah dirujuk untuk rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan ada ketumbuhan di dalam salah satu buah pinggangnya.

Menurut Marzuki, anaknya itu telah menjalani satu pembedahan dan dirawat dua bulan di hospital itu dan dalam tempoh itu dia serta isteri terpaksa berulang-alik dari rumahnya ke HKL.

"Saya sudah tak ada duit lagi untuk tanggung semua ini. Sekarang kami terpaksa hantar dia (Muhammad Aidiel) menjalani rawatan kemoterapi di HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) di Kota Bharu setiap minggu.

"Biasanya Muhammad Aidiel pergi ke HUSM pada setiap Khamis dan pulang semula ke rumah pada Ahad. Dia ke sana sambil diiringi isteri saya selain anak sulung, Nurul Adliana serta suaminya, Maroseh Yusof," ujarnya.

Mengenai dua alat jantina yang dimiliki Muhammad Aidiel itu, Marzuki berkata, dia dan isteri telah bersetuju untuk membolehkan anaknya itu menjalani pembedahan membuang alat kemaluan perempuan.

Isterinya, Rokiah berkata, langkah itu perlu demi masa depan Muhammad Aidiel selain mendapat persetujuan doktor yang merawatnya selain kesesuaian hormon kanak-kanak itu.

"Jika ikutkan doktor, dalam masa enam minggu lagi alat kemaluan perempuan Muhammad Aidiel akan dibuang dan dia tidak lagi ada dua jantina yang boleh mencelarukannya kelak," ujar Marzuki.

Marzuki bersyukur kerana bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 sebulan dapat melegakan sedikit bebanannya.

Bagi orang ramai yang ingin membantu, boleh mengunjungi keluarga Marzuki di alamat Lot 2628, Kampung Seberang Taman Chik Haji atau menerusi talian 019-9812337.